Thursday, August 27, 2009

Susu Ibu dan Kelebihannya

Di dalam al Quran ada beberapa tempat yang menyentuh tentang penyusuan bayi selama 2 tahun oleh ibunya. Antaranya ialah:

"Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan..." (al Baqarah: 233)

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKulah kembalimu." (Luqman: 14)

Sudah tentu pernyataan daripada kalam-kalam Allah ini mengandungi hikmah yang tersembunyi. Ya, ternyata susu ibu memang banyak kelebihannya. Para ibu sememangnya tidak boleh tidak(la budda) daripada menyusukan bayi mereka selepas kelahiran.

Apa kelebihan susu ibu?

Susu ibu ialah cecair yang dihasilkan secara semulajadi dan psikologi untuk bayi manusia. Saintis terus menemui kelebihan-kelebihan terbaru yang ada pada susu ibu. Berbanding susu formula, susu ibu kerap bertukar berdasarkan keperluan bayi. Susu formula tetap sama tanpa mengira keperluan dan usia bayi.

Susu ibu berubah berdasarkan usia bayi : Susu ibu untuk bayi pra-matang mengandungi kandungan protein yang tinggi. Susu ibu bagi bayi usia lapan bulan pula mempunyai kalori yang tinggi berbanding bayi berusia sebulan. Susu ibu berubah berdasarkan cuaca. Dalam cuaca panas, susu ibu mengandungi lebih banyak cecair. Dalam cuaca sejuk, ia mengandungi lebih banyak lemak. Susu ibu berubah dari segi rasa bergantung kepada jenis pemakanan ibu. Ini memberi peluang kepada bayi untuk mencuba pelbagai jenis rasa di sepanjang tempoh penyusuannya.

Secara ringkasnya, di bawah ini adalah kelebihan-kelebihan susu ibu:

Kebaikan Susu Ibu kepada bayi:

* Susu awal ibu yang menitis pekat berwarna kekuningan mengandungi kolostrum yang tinggi khasiatnya untuk bayi.

* Mengandungi khasiat zat yang lengkap bagi memenuhi keperluan bayi.

* Mengandungi protein, lemak dan asid lemak yang tinggi dan mudah dihadam. Perkembangan sistem penglihatan bayi yang menyusu juga mengumpul DHA di dalam korteks. (Kajian menunjukkan bayi yang menyusu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu susu ibu. - American Journal Of Clinical 1991)

* Melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan.

* Mengurangkan penyakit-penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis dan cirit-birit.

* Mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti apabila mereka dewasa.

* Mengurangkan risiko sindrom kematian bayi.

* Mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.

* Mengurangkan risiko pencemaran berbanding penyusuan yang lain.

Faedah penyusuan terhadap ibu

* Melindungi kesihatan ibu, merendahkan risiko terhadap barah buah dada dan ovari.

* Mengelakkan pendarahan selepas bersalin.

* Menjarakkan kelahiran kerana ia merupakan cara perancang keluarga semula jadi.

* Mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut kerana hormon oksitosin membantu mengecutkan rahim.

* Mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak.

* Penyusuan ibu boleh dilakukan pada bila-bila masa saja dan di mana-mana sahaja.
read more...

Friday, August 21, 2009

Antara Tulang Belakang dan Tulang Rusuk?

Di dalam surah at Thariq ayat 5-7, Allah menyebutkan tentang perihal kejadian manusia, iaitu:

5. Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan?

6. Dia diciptakan dari air yang dipancarkan,

7. Yang keluar dari antara tulang belakang dan tulang rusuk.

Mari kita kaji bagaimanakah yang dikatakan keluar daripada tulang belakang dan tulang rusuk tersebut. Menarik bukan? Kita akan mengkaji daripada aspek embriologi dan anatomi organ pembiakan bagi memahami firman Allah ini.


Mengikut ilmu embriologi, organ pembiakan lelaki dan perempuan (testis dan ovari) berkembang di kawasan berhampiran dengan ginjal, antara tulang belakang dan tulang rusuk ke-11 dan ke-12. Kemudian organ ini 'menurun' setelah berlakunya pengecutan 'gubernaculum': organ pembiakan wanita (ovari) akan berhenti di dalam rongga pelvik, manakala organ pembiakan lelaki (testis) akan terus 'menurun' sehingga ke scrotum melalui rongga inguinal. Namun begitu, walaupun organ-organ ini telah menurun ke bawah, namun organ-organ ini masih menerima bekalan saraf dan darah daripada Aorta Abdomen, yang terletak di antara tulang belakang dengan tulang rusuk. Sistem limfa organ tersebut juga adalah di kawasan yang sama.


Sebab itulah difirmankan Allah sebagai, " Antara tulang belakang dan tulang rusuk..."

Wallahua'lam.

Rujukan:

-Al Quranul Kareem
-Understanding Special Embryology by Dr.Sameh Doss
-The Qur'an and Modern Science by Dr Zakir Abdul Karim Naik
read more...

Saturday, August 8, 2009

Allah Memudahkan Proses Kelahiran

17. Binasalah manusia; alangkah amat sangat kekafirannya?18. Dari apakah Allah menciptakannya?19. Dari setitis mani, Allah menciptakannya lalu menentukannya.20. Kemudian Dia memudahkan jalannya. (Qur'an, 80:17-20)

Laluan kelahiran sangat sempit dan sukar untuk dilalui oleh bayi semasa proses kelahiran. Namun begitu, beberapa perubahan fisiologi telah berlaku di dalam tubuh ibu yang memudahkan proses kelahiran berlaku. Perubahan-perubahan ini adalah seperti :

-Pengembangan sendi tulang pelvik untuk membesarkan ruang kelahiran.

-Pengenduran otot-otot untuk meluaskan laluan kelahiran.

-Pembasahan laluan kelahiran dengan cecair amnion.

Apabila menghampiri kelahiran, pundi amnion akan pecah. Cecair ini akan membesarkan mulut rahim lalu membantu rahim untuk mencapai dimensi yang membolehkan kelahiran bayi. Tambahan pula, setelah pundi amnion pecah dan mengeluarkan cecair (air ketuban), laluan keluar bayi akan di ‘pelincir’ kan dan di ‘basuh’. Jadi, proses kelahiran akan menjadi lebih mudah dan bersih daripada kuman.

Inilah proses-proses yang berlaku sebagaimana yang dinyatakan Allah,

“ Kemudian Dia memudahkan jalannya.”

Diterjemahkan dan disunting daripada web www.harunyahya.com.

Pengajaran yang lain:

Walaupun telah dimudahkan jalan oleh Allah, namun ibu masih terasa sakit yang amat ketika melahirkan kita. Oleh itu, kenangilah jasa ibu sentiasa dan jangan sesekali menderhakainya.
read more...