Saturday, October 9, 2010

Seseorang Tidak Mempunyai 2 Hati

Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam jiwanya. Ungkapan ini saya ambil dari firman Allah SWT ayat 4 dari Surah al-Ahzab :

مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍۢ مِّن قَلْبَيْنِ فِى جَوْفِهِ

"Dan Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya..."

Pada ayat ini Allah SWT menerangkan bahawa Dia tidak menjadikan dua hati dalam satu tubuh. Tidak mungkin pada diri seseorang berkumpul iman dan kafir. Jika seseorang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, tentulah di dalam hatinya tidak ada kekafiran atau kemunafikan, walaupun sedikit, dan tentulah dia mengikuti Al-Quran dan sunah Rasulullah, menyeru manusia mengikuti jalan Allah, mengikuti hukum-hukumnya dan tentulah hanya kepada Allah sahaja Dia berserah diri.

Sebaliknya jika seseorang itu kafir atau munafiq, tentulah di dalam hatinya tidak ada iman kepada Allah dan Rasul-Nya dan dia tidak akan bertawakkal kepada Allah. Dengan kata lain; mustahil berkumpul pada diri seseorang dua buah keyakinan yang berlawanan, sebagaimana tidak mungkin ada dua hati di dalam tubuh manusia.

Bila diteliti ayat ini, kita juga akan dapat menyaksikan keajaiban al-Quran dalam sudut sains. Ayat ini juga mengandungi sebuah fakta yang diperakui oleh sains perubatan iaitu manusia tidak boleh membawa lebih dari satu jantung dalam jiwanya. Yang uniknya Allah SWT menyebut kalimah rajul bermakna orang lelaki. Kenapa Allah khususkan dengan lelaki sahaja? Allah tidak sebut bersamanya mar’ah iaitu perempuan. Jadi bagaimana dengan perempuan?

Persoalan ini menarik perhatian saya bila analisis ini saya temui dalam satu laman web Arab. Mengapa Allah memilih lelaki sahaja dan tidak perempuan? Apakah mungkin bagi seorang wanita untuk menanggung dan menggabungkan dua hati? Menurut istilah arab qalbun bermakna jantung.

Kita telah melihat dalam sejarah beberapa kelahiran yang luar biasa seperti kanak-kanak yang memiliki dua kepala atau dua alat kelamin atau beberapa kaki dan sebagainya, tetapi kita tidak pernah menyaksikan seorang lelaki yang hidup dengan dua jantung, kerana jantung bertanggungjawab untuk mengatur pergerakan darah, dan tidak mungkin dia boleh hidup dengan dua jantung. Tetapi bagaimana dengan wanita? Dari sinilah baru kita nampak keindahan ayat Allah ini. Ikuti penerangan di bawah.

Seorang wanita jika dia hamil, dia sedang membawa dua jantung, iaitu jantungnya dan jantung anaknya, malah boleh jadi lebih lagi jika dia mengandung anak kembar sehingga dia membawa beberapa jantung dalam tubuhnya.

Mungkin ada bayi yang lahir dengan dua jantung dalam kes-kes yang terpencil, tetapi ia tidak akan mencapai tahap menjadi seorang manusia lelaki dan dia akan mati sebagai seorang bayi sahaja .

Allah SWT berfirman di hujung ayat ini :

وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ
"Dan Allah mengatakan yang sebenar-benarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar)."

Inilah kebenaran al Quran, satu kenyataan bahawa manusia tidak mungkin mempunyai dua hati (sudut agama) atau dua jantung (sudut saintifik) atau lebih di dalam tubuh dan jiwanya.

Subhanallah...Wallahu a'lam.

Rujukan tambahan:
read more...